Thursday, July 19, 2012

Dr M: Buktikan saya seorang diktator


Bekas perdana menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya (www.chedet.cc) mahu mereka yang menuduh beliau sebagai seorang diktator agar membuktikannya.
Di penghujung zaman pemerintahnya, Dr. Mahathir diberikan banyak gelaran untuk mengaitkannya dengan pemerintahan kuku besi seperti ‘Mahazalim’, ‘Firaun’ dan ‘Diktator’.
Bekas perdana menteri itu membandingkan dirinya dengan bekas Presiden Mesir yang telah digulingkan, Hosni Mubarak, yang juga dikatakan sebagai seorang diktator yang mengamalkan pemerintahan kuku besi.
Menurut bekas ahli parlimen Kubang Pasu itu, di zaman pemerintahannya, Hosni Mubarak membunuh ribuan ahli Muslim Brotherhood serta memiliki harta kekayaan berjumlah US$70 billion (RM221 billion).
"Sewaktu berada di Kaherah di zaman Mubarak untuk bermesyuarat, apabila Presiden Mubarak bermotor dari istananya ke tempat persidangan, jalan yang dilalui olehnya dikosongkan dan askar bersenjata lengkap berderet sepanjang jalan.
"Di atas bumbung bangunan terdapat askar ‘sharp-shooter’ yang bersenjata untuk menembak sesiapa yang disyaki cuba menyerang rombongan Presiden.
"Istana Presiden dikelilingi tembok tinggi dan askar bersenjata berada di sekililing sepanjang masa. Musuh Mubarak tidak dibenarkan untuk berpolitik, sering ditangkap, dikurung tanpa dibicara dan dihilangkan," tambah Dr. Mahathir.
Menurut bekas PM itu, Mubarak memegang jawatan selama 30 tahun tanpa ada pilihan raya, tiada kebebasan bersuara dan akhbar di Mesir pada ketika itu.
"Selama 30 tahun Mubarak menjadi presiden, pemilihan bagi jawatan ini tidak pernah ditandingi oleh orang lain.
"Tidak ada kebebasan bersuara atau akhbar bebas.
"Tidak ada pilihanraya untuk ahli dewan.
"Siapa sahaja boleh dilantik oleh Mubarak untuk menjadi menteri.
"Mereka juga boleh dibuang bila-bila sahaja," katanya di dalam blognya.
Beliau dalam penulisannya turut menyebut nama diktator-diktator seperti Hitler, Mussolini, Ferdinand Marcos, Nicolae Ceaucescu — pemimpin Romania yang dibunuh, serta Gadaffi dan Saddam Hussein.
Dr Mahathir juga menyoal pembaca blognya sama ada beliau pernah melakukan perkara-pekara seperti yang dinyatakan tentang Hosni Mubarak dan diktator lain.
"Saya ingin tahu daripada pelawat ke blog saya tentang apakah yang saya telah lakukan semasa saya menjadi PM Malaysia yang boleh menjadi bukti bahawa saya adalah seorang diktator." kata bekas Presiden UMNO itu lagi.

No comments:

Post a Comment