Monday, March 18, 2013

Pusat Tahfiz Amal, PTA & Herba Tonite - Bersama Mazidul Akmal Sidek



TEMPAT KAMU BUKAN DI ...


Usianya didakwa 15 tahun, berasal dari Yan, Kedah dan kelihatan tanpa jemu menghampiri hampir setiap pelanggan stesyen minyak di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.


Tangannya menggenggam erat, herba 'tonite', dicetak gambar pasangan tersenyum gembira dan juga resit Pusat Tahfiz Amal, PTA. 

Sebotol herba itu dijual dengan harga RM10.


Resit di atas, bilangan ke 19,494. Maksudnya, jika setiap item dijual berharga RM10, pihak pengurusan PTA telah meraih RM194, 940 untuk buku resit itu sahaja.


Rakan saya, Mohd Farid Hamzah, berkebetulan berada di lokasi sama kemudian mendekati remaja itu.


"Adik-beradik saya 11 orang, saya anak ke empat," kata remaja terbabit.

Tambahnya, dia berada di Lembah Klang selama 3 hari, ditugaskan untuk menjual barang dibekalkan oleh PTA.

"Dari pukul berapa berada  di sini?," soal Farid.

"Sampai tadi pukul 5 petang, balik, ustaz ambil jam 8 malam," balasnya tenang.


"Orang belajar di sekolah tahfiz, jangan menipu. Paling lewat pukul berapa ustaz datang ambil balik?," soal saya.

"Dua belas, satu, macam itu," katanya.

Selama itulah dia terpaksa berjalan dan berdiri tanpa diberikan makanan dan minuman kerana  ustaz tidak berada di kawasan sama.

Dari reaksi dan jawabannya, ternyata dia tidak mengenali saya. 


"Sebenarnya kawan pak cik di utara Semenanjung telah pergi ke sekolah anak dan merakamkan banyak gambar PTA di kedah itu. Sekian lama derma dikutip, pelajar seperti anak diperhambakan tetapi cermin sekolah banyak pecah, pagar runtuh, tidak berganti. Kamu tahukan kemana wang berjuta selama ini dikutip oleh pelajar disalurkan?," soal saya.

Soalan itu sebenarnya tidak wajar diajukan kerana dia baru setahun belajar di PTA.

"Pagi kami belajar, petang kami keluar membuat jualan amal," katanya.


"Pak cik sudah lebih 10 tahun mengikuti perkembangan PTA, tempat anak belajar. Pak cik  juga tahu, anak terpaksa melakukan jualan ini, biarpun anak penat, lapar dan dahaga. Mungkin kerana keluarga anak susah dan tiada jalan lain untuk memberikan anak peluang untuk belajar. Bagaimanapun menempatkan anak di PTA bukan satu penyelesaian. Jiwa anak terseksa kerana tempat nak bukan di jalanan, di stesyen minyak, di kawasan Rawat dan Rehat atau di hadapan bank. Itu bukan tempat anak. Tempat anak di rumah atau di asrama, belajar. Anak berdiri banyak jam untuk menjual barang. Hasilnya dikaut oleh orang lain," ujar saya.

Dia hanya mendiamkan diri namun airmata jernih kelihatan bergenang dikelopak matanya. Menurut remaja itu, ayahnya bekerja sebagai tukang urut di Kedah.


Anak lelaki saya, sebaya usianya, mungkin dia berasa gementar.

"Anak tidak salah. Jadi usah anak berasa takut. Mungkin juga anak terpaksa melakukan pekerjaan seperti ini. Pak cik faham keadaan anak," tambah saya.

Klik di sini untuk melihat sendiri keadaan PTA dirakamkan kira-kira 3 minggu lalu.

"Biar pak cik hubungi ustaz," kata Halim Che Endut.


Halim, peniaga makanan di Shah Alam, Selangor dan berasal dari Terengganu. Dia pelanggan stesyen minyak terbabit.

"Beberapa hari lalu, pak cik jumpa kamu di Bukit Beruntung. Pak cik sudah nasihatkan?," celah lelaki memberhentikan kenderaannya di kawasan berhampiran.


Besarnya dugaan didepani remaja terbabit pada usia mentah.

Namun mereka tidak memarahi dia, cuma meluahkan rasa terkilan berikutan tindakan pihak  pengurusan PTA, tanpa peri kemanusiaan memperhambakan remaja seawal usia 12 tahun untuk menjual pelbagai barangan. Wang kutipan jutaan ringgit tidak tahu disalurkan kemana.

Halim dan Farid kemudian cuba menghubungi lelaki digelar 'ustaz' agar mengambil gadis itu dan membawanya pulang.

"Saya tinggal bersama dua lagi rakan perempuan Sungai Buloh, di rumah milik pasangan suami isteri. Anak mereka juga membuat jualan amal," jelasnya.


"Jom Farid! Kita ajak dia makan di Mc Donald, mungkin dia lapar atau kehausan," celah saya.


Tanpa banyak soal, dia mengikut kami untuk membeli makanan di restoran makanan segera terletak kira-kira 20 meter dari lokasi kami berdiri. 


Sebelum masuk ke restoran, Farid sempat menunjukkan kepada remaja itu, gambar bangunan PTA dirakamkan.

"Menagapakah tingkap banyak pecah?," soal saya.

"Pelajar ganas," balasnya bak bergurau.


"Ada kes apa bang?," sapa lelaki berdiri di luar.

"Remaja pengutip derma itu kami pelawa makan, lama dia berdiri di stesyen minyak di sebelah itu tadi. Pelajar Pusat Tahfiz Amal di Yan, Kedah. Pelajar mengutip derma lebih 10 tahun tapi keadaan bangunan  sekolah amat uzur. Kalau ada masa google 'Berama Mazidul Pusat Tahfiz Amal," jelas saya.

"Akta kita pun tidak begitu cukup untuk membuat pendakwaan," responnya.

"Kerja di mana?," tanya saya.

"Saya DPP (Timbalan Pendakwa Raya) di Shah Alam," balasnya tenang.

Beliau datang ke restaoran itu bersama ibunya dan ahli keluarga.

"Dia berusia 15 tahun, dilindungi oleh Akta Kanak-Kanak, kan tuan?," soal saya kepadanya.

"Ya. Tapi kalau ada laporan, Pegawai Penyiasat kena membuat seperti mana encik Mazidul lakukan. Ikut mereka, siasat dan dapatkan maklumat tepat untuk memperkukuhkan pendakwaan," jelasnya.

Sebelum beredar, beliau berkata ...

"Good luck"

Remaja terbabit memilih burger untuk makan malam tetapi hanya makan sedikit sahaja. Saya percaya dia berasa bimbang kerana ustaz dihubungi sebelum ini, pasti mencari dia.


"Saya hendak ke toilet," katanya perlahan kepada kami.

Farid menunggu di luar tandas berhampiran pintu masuk ke restoran. Hajat kami hanya ingin memastikan dia selamat dibawa pulang oleh ustaz bersama beberapa rakan lain.


Lama remaja itu berada di dalam tandas. 

Beberapa minit kemudian muncul kenderaan Proton hitam dan diparkir di ruang berhampiran. Pantas saya mendekati kenderaan terbabit untuk bertemu ustaz remaja itu. Di dalam kenderaan sama, kelihatan kelibat dua remaja perempuan bertudung duduk di belakang.

Sebaik didekati, kereta terbabit dipandu laju melalui lorong pandu-laju restoran terbabit. Saya dan Farid kemudian berusaha mencari kenderaan sama tetapi gagal. Lalu kami kembali berdiri di luar tandas.

"Kata wanita bekerja sebagai cleaner, dia menangis di dalam bang," ujar Farid.

Pantas saya menghubungi Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Fadil Marsus. Fadil di sebelah kanan di dalam gambar di bawah.


"Saya di Lahad Datu, sudah dua minggu bang," kata beliau.

Saya menerangkan kejadian berlaku.

"Tidak mengapa, nanti saya arahkan anggota polis peronda untuk mengambil remaja itu," ujar beliau lagi.

Kira-kira jam 9 malam, kenderaan peronda tiba di lokasi.


"Remaja itu tahu nombor telefon ustaz dia. Setiba di balai, dia akan menghubungi ustaz dan biar ustaz mengambil dia di balai polis. Sekurang-kurangnya kita tahu dia berada dalam keadaan selamat," ujar saya kepada Farid melaui telefon.

Saya beredar lebih awal kerana ada tugasan perlu dibereskan.


Farid kemudian menghubungi saya kembali, beberapa minit kemudian.

"Masa saya hendak balik, ikut belakang kereta peronda, tiba-tiba ternampak dua kereta Proton, hitam dan putih dengan nombor pendaftaran Melaka. Satu daripada kereta itu, yang hilang tadi masa abang dekati," kata Farid.

"Ikut dan rakamkan gambar," balas saya.

"Ustaz sedang mencari dia di Mc Donald bang," katanya lagi.

Berikut gambar dirakamkan oleh Farid.


Tentunya lelaki digelar ustaz itu berasa gementar apabila mendapati remaja dihantar ke lokasi pada waktu petang tidak berada di tempat asal. 

Apakah barangkali sedang difikirkannya sewaktu berdiri tercegat berhampiran resoran KFC, tidak jauh dari Mc Donald?

Bagaimanakah jika gadis sunti itu diculik?  Mungkinkah pada waktu itu barulah pihak pengurusan PTA tersedar, kejadian jenayah tidak memilih mangsa? Mungkin juga pada ketika itu mereka tersentak sekaligus menginsafi, memperhambakan remaja bercanggah dengan Akta Kanak-Kanak 2001.

Apapun, dalam tempoh terdekat, saya percaya ustaz itu akan menuntut pelajar PTA terbabit di balai polis berhampiran. Pastinya, dia akan terlebih dahulu terpaksa mendengar 'khutbah'  pihak berkuasa sebelum remaja itu dibenarkan untuk dibawa pulang.

Ramai bertanya, bagaimanakah kaedah untuk kita bersama membanteras kegiatan memperhambakan remaja ini?

Saranan saya, setiap kali melihat mereka di pelbagai lokasi, dial '999' dan minta pihak polis peronda datang dan membawa remaja terbabit ke balai berdekatan. Tujuannya, untuk memastikan mereka berada di tempat selamat. 

Biarkan ustaz mereka ke balai untuk mendengar 'khutbah'. Sekurang-kurangnya,  ustaz mereka mempunyai kerja 'extra' selain daripada duduk di lokasi tersembunyi sementara menunggu ramaja diperhambakan berpanas dan  berhujan, kononnya melakukan jualan amal.

No comments:

Post a Comment