Thursday, March 21, 2013

Kiram tuduh Malaysia hantar skuad pembunuh



MANILA 20 Mac - Kes dakwaan skuad pembunuh dari Malaysia yang menyelinap masuk ke Filipina bagi membunuh ketua pengganas di Sabah, Jamalul Kiram III (gambar) dan beberapa pengikutnya difailkan di Biro Siasatan Nasional (NBI).
Jurucakap kumpulan pengganas itu, Abraham Idjirani berkata, peguam hak asasi manusia, Leonard de Vera dan peguam, Mario Lozada yang 'membocorkan' rancangan pembunuhan tersebut telah pergi ke NBI dan membawa bersama satu afidavit.
"Penasihat kumpulan kami, Pastor Boy Saycon turut pergi bersama mereka ke NBI.
"Saya dan Kiram diwakili oleh Saycon, manakala De Vera akan memfailkan aduan tersebut," katanya.
Idjirani semalam, mendedahkan seorang pegawai tentera berpangkat kolonel bersama empat komando dari Malaysia memasuki Filipina bersama tiga warga Filipina yang dilatih dari wilayah Quezon untuk membentuk satu skuad pembunuh.
Dia mengenal pasti ketua skuad itu sebagai Kolonel Sunny Ng yang makan tengah hari dengan seorang lagi rakyat Malaysia dikenali sebagai Kenneth Lee di sebuah restoran mewah di sebuah kompleks membeli-belah di Pangkalan Tentera Udara Villamor, Pasay City.
Selepas dimaklumkan mengenai rancangan bunuh itu, Lozada segera memaklumkan perkara itu kepada sahabat baik yang juga rakan perniagaannya, Saycon.
Dalam pada itu, Kiram berkata, dia tidak berasa takut dengan skuad tersebut.
"Kenapa perlu saya takut, Saya belum melihat mereka, jika ada saya akan terus melarikan diri," katanya sambil memegang lututnya.
Kiram meminta NBI, polis dan tentera untuk menyiasat rancangan membunuh dirinya dan beberapa pengikutnya yang lain. - AGENSI