Monday, March 18, 2013

KEADAAN SEBENAR PUSAT TAHFIZ AMAL DIDEDAHKAN (BUKA MATA DAN BERTINDAK!) - Bersama Mazidul Akmal Sidek



KEADAAN SEBENAR PUSAT TAHFIZ AMAL DIDEDAHKAN (BUKA MATA DAN BERTINDAK!)



Saya percaya, pembaca setia blog ini tahu mengenai kegiatan Pusat Tahfiz Amal di Kuala Kedah, Alor Setar, Kedah. Bertahun pihak pengurusan mengerahkan pelajar mengadakan 'jualan amal' di seluruh negara.

Sila baca di sini, jika anda berkebetulan melawat blog ini buat kali pertama.

Tentunya dalam tempoh lebih 10 tahun beroperasi, jutaan ringgit wang derma telah dikumpul oleh pihak terbabit. 

Kenalan lelaki saya, berasal dari utara Semenanjung Malaysia menawarkan khidmat selama ini saya nantikan. 

"Biar saya pergi ke sana dan merakamkan gambar pusat tahfiz itu supaya masyarakat tahu keadaan sebenar," katanya.

Berikut antara gambar dirakamkan oleh LENSA kamera rakan itu dan kemudian dihantarkan kepada saya.


Menurut penduduk tempatan ditemui, pusat tahfiz ini dihuni kira-kira 100 pelajar dan mereka tidak pernah bercuti.

"Saya pergi ke sana pada hari Sabtu, kira-kira jam 12 tengahari, peliknya tidak kelihatan pelajar," jelasnya.


"Tentunya menghairankan. Setiap hari pelajar diperkudakan menjual pelbagai jenis barangan di lokasi berbeza, pulang selepas lewat malam tetapi terlalu banyak tingkap pecah tidak diganti," kata rakan itu lagi.


Sekaligus timbul persoalan, kemanakah perginya wang selama ini disumbangkan oleh orang ramai kepada pelajar pusat tahfiz terbabit?


Adakah gambar di bawah,  tandas selama ini digunakan oleh pelajar lelaki dan perempuan?


Kurang berpuas hati dengan gambar direkodkan sehari sebelumnya, rakan saya memperuntukkan masa melakukan tinjauan kedua pada hari Ahad, hari persekolah biasa di negeri Kedah. 

Namun, pusat tahfiz itu tetap kelihatan lengang.

Di manakah pelajar pada hari mereka sepatutnya bersekolah? 

"Saya hanya nampak sebuah MPV memasuki pusat tahfiz itu dan tiada langsung kelibat pelajar," ujar rakan.


Adakah itu layak digelar pagar? 


Tidak kira parti mana sekalipun menerajui negeri Jelapang Padi,  dahulu BN, kini PR,  tiadakah pemimpin mengambil tahu mengenai kebajikan pelajar di pusat tahfiz itu? Mereka remaja dan kanak-kanak di bawah umur. 

Tidakkah ada pihak sudi menyiasat, kemanakah wang dikutip selama ini disalurkan? Sekaligus memeriksa samada perbelanjaan wang diterima, diaudit secara sempurna atau sebaliknya?

Sebelum ini, setiap kali bertemu pelajar kononnya membuat jualan amal, saya difahamkan mereka belajar mengaji Al-Quran selepas waktu subuh. Seawal jam 8 pagi, mereka mula dihantar oleh 'ustaz' ke pelbagai lokasi untuk menjual barangan. 

"Tidak hairan jika pada waktu tinjauan, petang Ahad, pelajar tiada di pusat terbabit kerana tenaga mereka dikerah di luar," itu tanggapan saya.

Rakan saya terdiam.

Molek benar jika Kementerian Dalam Negeri atau pihak bertanggungjawab melakukan siasatan terperinci kerana sesetengah pihak mula melihat kegiatan memperkudakan pelajar oleh pihak pengurusan pusat itu menjuruskan ke arah perhambaan kanak-kanak.

Bertindaklah.

Selama ini sebilangan pihak sibuk menuntut hak asasi manusia. Remaja dan kanak-kanak, berteduh di pusat terbabit juga manusia dan rakyat sah negara ini.

Bagaimanakah dengan hak mereka? Hak wajib dilindungi oleh kita, sekian lama menggelar diri sebagai  manusia dewasa.

No comments:

Post a Comment