Friday, February 15, 2013

Bersih dakwa SPR ‘jahat’ dan ‘tidak bertanggung jawab’



Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 hari ini menyuarakan rasa kecewa terhadap kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memberi amaran supaya Pengerusi Bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan “tidak merosakkan perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).”
Dalam satu kenyataan hari ini pergerakan badan bukan kerajaan (NGO) itu melihat kenyataan Datuk Wan Ahmad Wan Omar itu “jahat dan tidak bertanggung jawab.”
“Ini adalah percubaan untuk mengalih pandangan orang ramai tentang pekara-pekara yang ditimbulkan oleh Kumpulan Masyarakat Madani dan pandangan umum tentang perlunya reformasi pilihan raya dilakukan.
“Bersih 2.0 merasa amat kecewa dengan kenyataan terbaru dari timbalan pengerusi SPR yang telah menuduh Ambiga ‘meracuni pemikiran orang ramai dengan perkara-perkara palsu.’
“Beliau juga menuduh ‘beberapa kumpulan’ sedang menanamkan ‘ajaran [jangan percaya].’ Kami melihat kenyataan ini jahat dan tidak bertanggung jawab,” jelas kenyataan tersebut.
Wan Ahmad sebelum ini dipetik laporan media arus perdana memberi amaran kepada Ambiga supaya tidak menjadi perosak kepada kelancaran proses PRU 13.
Beliau berkata kenyataan bekas Pengerusi Majlis Peguam itu boleh mengelirukan dan menghakis keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi di negara ini. 
Dakwaan Ambiga pengundian pos di luar negara sangat mengelirukan dan meragukan jelas Wan Ahmad adalah nasihat yang salah kepada pengundi, sebaliknya beliau berkata SPR berusaha memberikan hak mengundi serta meringankan beban pengundi yang tidak berkemampuan dari segi masa dan kewangan. 
“Ambiga membuat andaian mengelirukan dan kenyataannya itu tidak membantu sebaliknya lebih merosakkan sedangkan proses mengundi adalah melalui pelbagai cara sama ada datang sendiri atau melalui pos. 
“Tindakannya itu menggambarkan beliau tidak faham dengan prosedur dan mekanisme SPR yang dibincangkan dengan panjang lebar dengan Wisma Putra dan kedutaan, sebaliknya membuat kenyataan berasaskan persepsi dan andaian serta cuba meracuni rakyat dengan perkara yang karut,” katanya dipetik laporan media.
Bersih 2.0 sendiri telah menerima rungutan dari orang ramai, termasuk dari warga di luar negara. Mereka menimbulkan kerisauan tentang pemilihan yang penuh tipu helah termasuk keganasan ketika berkempen hinggalah tentang tatacara mengundi pos yang tidak jelas.
 “Berhadapan  dengan persoalan-persoalan ini, saranan kepada  orang ramai agar percaya dan yakin terhadap lembaga SPR agak tidak kena pada tempatnya ... ini  kerana kekusutan dan kacau bilau dalam sistem pemilihan itu masih belum diperbetulkan.
Tegas pertubuhan gabungan NGO menuntut pilihan raya yang adil dan bersih itu, SPR tidak seharusnya membuat tuduhan melulu tentang kekacauan.
“SPR seharusnya  menerima hakikat bahawa tuntutan Bersih 2.0 adalah permulaan reformasi sistem pemilihan.
“Ini akan memperlihatkan pilihan raya yang akan datang ini sebagai telus, tidak ada penipuan dan syak wasangka,” tegas kenyataan tersebut.