Tuesday, January 29, 2013

Disebalik isu kalimah ‘Allah’, Vatican mahu hubungan baik dengan masyarakat Islam di Malaysia


Vatican berharap dapat memperkukuhkan hubungan Gereja Katolik dengan masyarakat Muslim di Malaysia, menurut laporan The Wall Street Journal, walaupun keduanya masih bertikam lidah mengenai isu kalimah "Allah".

Dalam artikel Jumaat lalu, Uskup Agung Joseph Marino, duta Vatican pertama ke Malaysia, meluahkan keinginan dari Holy See semasa temubual pertama dalam negara selepas menjawat jawatan tersebut.
"Tidak ada sebarang syak lagi, kami selama ini mahukan perhubungan antara agama," kata Uskup Agung Marino, yang berasal dari Birmingham, Alabama, dilaporkan oleh WSJ.
"Pope Benedict XVI menerangkan fokus dan prioriti misi kita, iaitu dialog, yang menjadi hasrat hati setiap individu."
Duta Vatican itu berkata tanggungjawabnya ialah memastikan gereja di Malaysia memenuhi misinya, dalam masa sama "mempunyai minat dalam pembangunan sosial, ekonomi dan politik dalam negara."Artikel itu menyebut walaupun umat Islam dan Kristian tinggal bersama secara harmoni selama berdekad, namun, ketegangan ini timbul berikutan perbalahan mengenai isu penggunaan kalimah "Allah" di dalam Injil.
Pemimpin agama Islam, termasuk Sultan Selangor dan badan penguatkuasa Islam peringkat persekutuan mengatakan perkataan "Allah" ekslusif untuk Tuhan penganut agama Islam.
Tetapi Kristian dari pelbagai mazhab dan orang bukan Islam lain termasuk Sikh tidak bersetuju kerana berkata perkataan tersebut digunakan oleh mereka sejak dahulu.
WSJ juga menulis tentang gereja Protestan yang dibakar pada 2010, selain gereja lain dirosakkan selepas Mahkamah Tinggi memutuskan pada 2009 bahawa umat Islam tidak mempunyai hak ekslusif untuk perkataan "Allah".
Empat tahun kemudian, isu ini ditimbulkan selepas setiausaha agung DAP membangkitkan isu ini dalam perutusan Hari Krismas tahun lalu.
Pemimpin Perkasa Datuk Ibrahim Ali mencetuskan kemarahan orang bukan Islam apabila minggu lalu beliau mengatakan umat Islam perlu membakar kitab Injil yang berbahasa Malaysia menggunakan perkataan "Allah" dan kalimah Arab lain.
WSJ melaporkan bahawa Roman Katolik mempunyai kedutaan di Kuala Lumpur awal tahun ini kerana penduduk negara ini mencecah hampir sejuta orang penganutnya, iaitu hampir keseluruhan masyarakat Kristian di Malaysia.
"Ini adalah langkah pentabdiran Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Razak selepas menerima tekanan dari orang ramai terutamanya Kristian dalam menjelang pilihan raya umum, yang perlu dilangsungkan pada 27 Jun," kata akhbar tersebut.
Pope Benedict XVI melantik uskup agung itu menjadi apostolik nuncio - atau duta ke Malaysia pada 16 Januari, selepas Kuala Lumpur mengadakan hubungan diplomatik dengan Vatican pada 2011.

No comments:

Post a Comment