Tuesday, February 19, 2013

Matrix Chapter 9 - Dari Fail M.O




Peringatan
 Artikel-artikel di dalam siri The Matrix kebanyakan di luar kotak pemikiran biasa.Ada yang menyentuh ilmu-ilmu kerohanian tertentu terutamanya Ilmu Tasawuf (Sufism).Sekiranya ada di antara artikel di dalam siri ini telah mengganggu ketenteraman anda,anda tidaklah digalak meneruskan pembacaan.Sekiranya anda merasa keliru atau sangsi setelah membaca isi kandungannya,terutama mengenai ajaran kerohanian,sila rujuk guru-guru agama yang mursyid dalam bidang Tasawuf.Sekiranya perlu sila rujuk AlQuran dan AlHadis serta kitab-kitab Tasawuf yang muktabar,sekadar menyebutkan contoh seperti Tanwirul Qulub, Minhajul Abidin,Futuhatul Ariffin,Sirus Salikin dan Hikam,atau lebih bagus sebagai permulaan kitab Imam Al-Ghazali, Ihya 'Ulumuddin.The Matrix adalah sekadar model untuk pemahaman masalah kehidupan manusia dari kaca mata terkini,di mana tidak mengubah sedikit pun konsep dan kepercayaan sebenar ilmu kerohanian itu sendiri.Dalam hal ini MistisFiles cuba untuk menyederhanakan isi kandungannya sesuai dengan tingkat kefahaman awam.

Kepada pembaca siri Matrix yang baru,sila semak siri-siri Matrix sebelumnya untuk pemahaman yang lebih jelas.

Ini adalah Matrix09 di bawah tajuk "Struktur Matrix"




-M.O



"There's a building. Inside this building there's a level where no elevator can go, and no stair can reach. This level is filled with doors. These doors lead to many places, hidden places, but one door is special. One door leads to the Source. This building is protected by a very secure system. Every alarm triggers the bomb"(Keymaker -Matrix Reloaded)



Dunia Sains kini percaya bahawa alam semesta ini bermula dengan satu titik tunggal.Titik tunggal ini adalah asal-usul terjadinya alam semesta.Daripada titik tunggal ini maka lahirlah alam-alam dan dimensi.Alam-alam ini berkembang dan berkembang berasal dari titik tunggal ini.Titik tunggal ini menerbitkan benda-benda;dari yang abstrak hinggalah yang konkrit.Dari mimpi-mimpi hinggalah kenyataan dan realiti.Dari segala harapan dan sangkaan hinggalah suratan atau kebetulan.Titik tunggal ini adalah 'nenek moyang' alam semesta.Dari satu titik yang satu ini maka bercambahlah segala alam-alam yang tidak terkira banyaknya;seolah-olah infiniti.Alam-alam yang teramat banyak ini rupanya lahir dari titik yang tunggal ini.Alam-alam ini adalah MANIFESTASI dari titik tunggal ini.Dari satu menjadi banyak;banyak dari yang satu.ASAS MENJADI KOMPLEKS.

Berjuta-juta tahun dahulu,atau mungkin lebih dari itu,titik tunggal ini tercipta.Dan dari titik tunggal ini,kata para Pendita Ilmu Sains Fizik;lahirlah alam semesta ini.Mereka menggelarnya Big Bang.Ahli Sufi menggelarnya Nur Muhammad.




Nur Muhammad dan Struktur Matrix




“Perkara yang paling awal yang diciptakan Allah ialah nurku”

(Hadis Rasullullah s.a.w)


Di dalam Kitab 'Taman Rahsia' versi Fizik Moden iaitu Endless Universe oleh Paul Steinhardt dan Neil Turok,ada dinyatakan tentang kronologi Big Bang.Selepas terjadinya Big Bang, berlakulah penyerakan partikel merata ke seluruh ruang. Kemudian terdapat satu bahan yang dipanggil Dark Matter, mengimbangi penyebaran tersebut. Ini boleh digambarkan melalui tanah liat atau pun plastisin (tanah liat buatan).Bayangkan anda menekan-nekan tanah liat tersebut dengan jari anda. Tanah liat akan menjadi datar, rata, tipis.Inilah yang dilakukan oelh Dark Matter ke atas alam semesta kita selama 15 juta tahun ini,dan sehingga jutaan tahun ke akan datang (sekiranya boleh) akan menjadikan alam semesta kita semakin datar.Ini dipanggil 'Flat Universe'.


Kejadian Big Bang ini dapat digambarkan melalui Eksperimen Belon.Bayangkan belon yang telah dilukis titik-titik kecil di atasnya secara rawak.Kemudian tiup belon tadi.Apabila permukaan kulit belon mengembang,titik-titik tadi ikut menjauhi di antara satu sama lain.Proses ini terus berlaku sehingga waktu yang tidak diketahui.Alam semesta akan mengembang dan terus mengembang.Jasad-jasad akan terus terbentuk dan mati.Tetapi para saintis tahu,proses ini pasti akan menyusut!Melalui pengiraan matematik yang rumit,saintis-saintis Fizik Teori mendapati pengembangan ini tidak kekal,malah menyusut dan terus menyusut.


Maksudnya pengembangan akan melalui suatu titik puncak dan graf mula menurun dan berakhir ke nilai kosong kembali!Bagaimana mereka tahu?Bagaimana semua ini terjadi?Ini terjadi disebabkan konsep 'Flat Universe' tadi.Proses 'perataan' alam-alam ini menyebabkan alam semesta tidak akan terus mengembang secara tidak terkawal.Bagaimana diketahui alam ini menjadi semakin 'flat'?Selama bertahun-tahun manusia telah mengamati melalui pemerhatian-pemerhatian yang rumit bahawa terdapat satu daya graviti yang dihasilkan oleh satu objek misteri.Objek ini tidak mampu dilihat dengan mata kasar,namun daya gravitinya mempengaruhi objek lain di sekelilingnya.Sains memanggilnya Dark Matter.

Apakah itu Dark Matter?

Dark Matter atau 'Bahan Gelap' adalah sebuah nama untuk sejenis bahan di alam ini yang tidak pernah mampu diketahui struktur dalamannya.'Dark' atau gelap digunakan oleh ilmuwan Sains Fizik untuk melabelkan objek yang tidak mampu dijelaskan.

Dark Matter sebenarnya memang wujud.Ini kerana pengaruh graviti dan tenaganya atau disebut Dark Energy dapat dikesan dan dirasakan.Malahan Dark Matter mengisi 23% jisim bahan di alam semesta ini, dan Dark Enegy menguasai 73% dari tenaga yang ada di alam semesta ini. Namun Dark Matter tidak memancarkan cahaya (namanya sudah membayangkan sifatnya).Sehingga kini,para saintis masih mencari-cari dari apakah Dark Matter ini berasal.

Dark Matter memainkan peranan terhadap berkumpulnya bintang-bintang yang kemudiannya membentuk kumpulan-kumpulan galaksi atau 'cluster'. NASA melalui teleskop Hubble telah mencuba menggambarkan bagaimana Dark Matter membentuk wajah alam semesta kita sehingga menjadi yang sekarang kita lihat.Dark Matter juga berperanan menjaga jarak antara antara bintang di dalam galaksi tetap sama walaupun jarak antara galaksi-galaksi semakin menjauhi.






Nampaknya amat penting peranan Dark Matter ini.Tetapi mengapakah ia 'gelap' dan tidak boleh dilihat?Telah diterangkan sebelum ini bahawa partikel-partikel graviton yang membentuk graviti juga tidak dapat dilihat dan ini bermakna ia dikategorikan sebagai partikel diluar dimensi kita kerana memiliki string tertutup.Berdasarkan ini,maka boleh dikatakan Dark Matter juga tergolong di dalam string tertutup dan ia di luar dimensi kita,di mana partikel cahaya tidak mampu mencapainya disebabkan partikel cahaya (foto) bersifat string terbuka dan melekat pada membran-membran Matrix.

JIKA PARTIKEL CAHAYA DAPAT MENYEBERANGI ANTARA MEMBRAN,KITA AKAN DAPAT MELIHAT APA YANG TERDAPAT DI ALAM LAIN,KERANA PENGLIHATAN MANUSIA BERGANTUNG KEPADA PERANTARAAN CAHAYA.

Bagaimanakah mulanya manusia mula tertarik mengkaji objek-objek diluar dimensi ini?Konsep partikel di luar dimensi kita semakin menarik apabila kajian telah dilakukan ke atas Lohong Hitam (Black Hole).Kajian LOhong Hitam ini lebih terkenal dengan penglibatan saintis kurang upaya,Professor Stephen William Hawking yang mengabdikan dirinya kepada kajian Fizik Teori ke atas Lohong Hitam dan juga Big Bang.

Black Hole atau Lubang Hitam adalah istilah yang diberikan untuk suatu peristiwa keruntuhan bintang. Bintang tidak selamanya mampu melepaskan tenaga yang menjadikannya objek yang tetap panas di alam semesta.Pada suatu ketika pasti bahan bakar atau tenaganya akan habis dan tidak ada lagi yang dapat dibakar, sehingga bintang pun mula mengalami keruntuhan.Peristiwa "runtuh" ini terjadi di setiap atom penyusun bintang, elektron yang bergerak mengelilingi pusat atom akan kehabisan tenaga dan jatuh ke pusat atom.Bintang pun mengalami penyusutan isipadu.Ukuran bintang akan susut ke isipadu tidak terhingga kecilnya.Namun apa yang terjadi pada jisimnya?Jisim bintang tidak berkurang,dan daya graviti yang ditimbulkannya pun tidak berkurang, menjadikan Lohong Hitam sebuah benda kecil bergraviti besar.Lohong Hitam adalah singulariti.



Graviti yang sangat besar ini menarik objek di sekelilingnya, termasuk cahaya atau foton. Cahaya pun tidak dapat melepaskan dirinya.Pada jarak tertentu dari Lohong Hitam,foton ada yang masih kuat untuk tidak tersedut,namun terlalu lemah untuk dapat melepaskan diri, maka foton tersebut hanya melayang-layang saja di tempat tersebut. Jarak ini disebut Event-Horizon atau Horizon Peristiwa.Adalah dipercayai apabila cahaya berhenti,maka waktu pun turut berhenti.

Bila cahaya tidak dapat melepaskan diri, maka kita tidak mampu melihat Lohong Hitam ini, kita dapat mengetahui adanya Lohong Hitam di suatu tempat dengan mengamati cahaya yang mengelilingi sebuah objek gelap, atau mengamati benda langit seperti bintang atau planet mengorbit suatu objek tidak nampak namun memiliki daya graviti kuat.

Lohong Hitam adalah momok bagi Fizik kerana semua perhitungan matematik akan runtuh di singulariti.Sains menemukan jalan buntu di situ.Namun Lohong Hitam adalah objek penting yang mampu menjawab bagaimana Big Bang terjadi di masa lalu dan bagaimana situasi alam semesta ini pada awal penciptaannya.

Stephen Hawking adalah saintis yang mempelajari dengan sangat mendalam Lohong Hitam ini.Suatu ketika beliau berusaha mengukur entropi Lohong Hitam.Lohong Hitam memiliki radiasi dan radiasi adalah satu entropi iaitu tenaga yang tidak bekerja atau digunakan.Penemuan Hawking sangat memeranjatkan.Nilai entropi Lohong Hitam adalah sama dengan luas permukaan lubang hitam.

Fikirkan,Hawking ingin mengira isipadu tenaga yang memenuhi Lohong Hitam dan sudah tentu pengiraannya berkait rapat dengan ISIPADU,iaitu unit Fizik yang bersifat 3 dimensi.Namun yang anehnya ISIPADU Lohong Hitam adalah sama dengan LUASNYA!Dimanakah isipadu Lohong Hitam?Nilai isipadu sesuatu objek tidak boleh sama dengan luasnya kerana isipadu melibatkan penambahan satu dimensi ruang.

Bagaimana mungkin menghitung 3 dimensi tetapi yang didapati adalah 2 dimensi?Ini adalah sesuatu yang aneh.

Namun kemudiannya, setelah M-Theory diperkenalkan,apa yang didapati oleh Hawking adalah wajar dan benar.Lohong Hitam adalah objek 2 dimensi.Bukan 3 dimensi.Jadi bagaimana untuk mengetahui struktur dalaman Lohong Hitam?Lohong Hitam adalah objek 2 dimensi ruang di alam semesta kita.Struktur dalamannya bukan milik alam semesta kita.Di dunia kita,Lohong Hitam hanya dapat dirasai oleh deria kita satu objek tipis seperti mana anak-anak kita melukiskan bulatan di atas kertas.Kita tidak akan tahu apakah yang berada di dalamnya sehingga kita mampu menukar tubuh badan kita menjadi satu objek 2 dimensi.Cadangan lain?Ya,ada yang lebih mudah.Kita perlu menukarkan partikel cahaya menjadi partikel 2 dimensi dengan string tertutup supaya penglihatan kita dapat mengintai apakah yang berlaku di dalam Lohong Hitam.


Rahsia Tingkatan Dimensi Di dalam Matrix






"Aku jadikan segala perkara itu kerana engkau ya Muhammad! 


dan Aku jadikan akan dikau itu kerana Aku, yakni dijadikan nur Muhammad itu dengan tiada wasitah suatu jua pun"
 

(Hadis Qudsi)



Rasanya perlu juga diterangkan rahsia setiap tingkatan di dalam dimensi.Penjelasan ini adalah penjelasan yang paling mudah setakat ini,tidak melibatkan terlalu mendalam struktur Matrix yang kompleks dan ragam getaran string yang rumit.

Bayangkan kita makhluk yang hidup di dalam alam 3 dimensi.Kita punya panjang,lebar dan dalam.Bayangkan lukisan diri kita di atas sehelai kertas.Lukisan ini tidak memiliki ruang 3 dimensi.'Kita' di dalamnya tinggal di dalam dunia 2 dimensi,hanya memiliki panjang dan lebar sahaja.Bagaimanakah kita ingin mengetahui kehidupan 'kita' di dalam lukisan ini?Ini bermakna kita haruslah menukarkan setiap atom-atom 3 dimensi kita kepada atom-atom 2 dimensi (dan ini sudah pasti melibatkan kadar getaran string tertentu) supaya dengan itu dapatlah kita bersama-sama diri 'kita' di dalam lukisan tadi dan dapat mengetahui berapa ukuran 'dalam' atau isipadu mahupun berat badan kita di dalam dunia 2 dimensi itu.Potret kita tadi mewakili dunia 2 dimensi.Jika kita berdegil tidak mahu membuang 1 dimensi ruang (dalam hal ini kedalaman dibuang),maka ketika kita di 'transform' kan ke dunia 2 dimensi,diri kita akan musnah dan ghaib begitu sahaja,kerana struktur atom-atom kita akan terpecah-pecah dan disiat-siat di dalam Matrix yang tidak membenarkan entiti 3 dimensi memasuki alam 2 dimensi.Ini samalah seperti perbezaan 'interpolation' atau jenis 'graphic accelarator' permainan komputer yang berbeza.Grafik permainan yang berasaskan OpenGL atau Nvidia GeForce versi terkini tidak dapat menerima pemecut grafik yang berfasiliti rendah seperti Intel GMA X3100 atau Intel® Graphics Media Accelerator kerana tidak dapat menampung interpolasi dan keperluan grafik yang tinggi.Jika dipaksa memainkan permainan di dalam komputer yang tidak memiliki keperluan pemecut grafik tersebut,maka permainan komputer tadi akan 'crash' atau jika bernasib baik,dapat bermain di dalam keadaan grafik yang 'kotor' dan dengan warna yang bercelaru dan grafik yang terpecah-pecah.INI MENERANGKAN MENGAPA RUPA SYAITAN DAN JIN YANG MAMPU MUNCUL SEKETIKA DI ALAM MANUSIA MEMILIKI GRAFIK YANG 'KOTOR' DAN MENYERAMKAN.



JASAD FIZIKAL KITA AKAN MUSNAH JIKA MENGEMBARA KE ALAM-ALAM LAIN.CUMA ROHANI DAN MINDA YANG DAPAT MENERJAH KE ALAM-ALAM YANG ABSTRAK INI.

Apa akan jadi jika kita mahu melawat ke dunia yang mengandungi 4 dimensi ruang?Aha...kita perlulah menambah satu lagi dimensi ruang di dalam struktur atom-atom jasad kita,untuk memunculkan diri ke di dalam dunia 4 dimensi ruang.Apakah 1 dimensi ruang yang perlu ditambah itu?Kita tidak dapat melihatnya di dunia 3 dimensi kita ini.Mungkin juruteknik yang kita import dari dunia 4 dimensi dapat melakukan semua untuk kita.Kita hanya dapat melihat 1 dimensi ruang tambahan ini apabila kita berjaya memunculkan diri kita di dunia 4 dimensi ruang.Ketika itu barulah kita akan berkata:

"Oh,begini rupanya 1 dimensi tambahan itu"

Sama seperti yang berlaku jika kita mahu masuk ke dalam dunia 2 dimensi,jika kita terlupa menambah 1 dimensi ruang ini ketika mahu muncul di dalam dunia 4 dimensi,maka kita akan termusnah begitu sahaja atau muncul dalam keadaan cacat dan hodoh kerana kekurangan sifat.Makhluk-makhluk 4 dimensi ruang akan lari ketakutan apabila melihat rupa kita yang hodoh lagi menyeramkan itu.JIka kita bernasib baik,mungkin kita hanya akan ditertawakan oleh mereka kerana rupa kita yang pelik itu.Mungkin ada kru-kru Seekers di kalangan mereka akan cuba untuk menangkap kita dan dijadikan bahan kajian.

Kita tidak akan mampu menyeberangi alam-alam lain jika kita bergantung kepada ALAM FIZIKAL KITA.Jasad kita tidak akan mampu ke mana-mana selain di alam Matrix yang terhad ini.Hanya minda yang fokus dan rohani yang kuat,dapat menyelami rahsia alam semesta.Dapat minum air ketakjuban di alam-alam Nasut,Jabarut,Malakut dan Lahut.


Nur Muhammad







“Sesungguhnya telah datang kepadamu Nur dari Allah dan Kitab yang nyata” 

(Al Quran 5:15).



Menurut pemahaman ahli-ahli Sufi,Allah s.w.t menjadikan alam semesta ini dari satu entiti yang tunggal.Entiti ini adalah manifestasi alam semesta ini.Kepelbagaian atau keragaman alam semesta yang teramat kompleks ini berasal dari satu 'tenaga' atau entiti ini.Tidaklah Allah s.w.t menjadikan alam-alam ini tanpa entiti tunggal ini.Dari entiti inilah alam semesta dan segala makhluk ini dijadikan.Istilah ilmu Sufi untuk menerangkan keadaan ini adalah NUR MUHAMMAD.Istilah Nur Muhammad ini sebenarnya amat dekat dengan umat Islam.Misalnya di dalam zikir munajat:



Hasbi Rabbi JalallahMa Fi Qalbi GhairullahNur Muhammad Salallah...Nur Muhammad Salallah...



Istilah Nur Muhammad merujuk kepada entiti ini,yang daripadanya segala alam semesta dan makhluk-makhluk terjadi.Di alam Nusantara sendiri,antara yang membahaskan masalah Nur Muhammad ini adalah Nur al-Din al-Raniri dan Syaikh Zain al-‘Abidin al-Fatani.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri misalnya menulis tentang tajuk ini dalam kitabnya Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard yang tercetak di tepi kitab Taj al-Muluk (tanpa tarikh). (Lihat tulisan penulis ini “Kosmologi para Fuqaha & Ulama Sufiah Dalam pemikiran Melayu”, dalam Kosmologi Melayu, penyelenggaraan Yaacob Harun, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2001, hal.10-22). Antara nas-nas yang disebut di dalamnya ialah hadith qudsi yang terkenal yang bermaksud: “Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi, maka Aku kasih bahawa Aku dikenali, maka Aku jadikan makhluk, maka dengannya mereka mengenaliKu”. (Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hal. 10). Juga dinukilnya hadith bermaksud: “Sesungguhnya Allah menjadikan ruh nabi dari zatNya dan Ia menjadikan alam semuanya dari ruh Muhammad s.a.w.” (ibid. 10). Maksudnya Ia menjadikan ruh nabi daripada tidak ada kepada ada dari SisiNya, bukannya bermakna bahawa sebahagian daripada Tuhan dijadikan ruh nabi. Dinukilnya juga hadith yang bermaksud: “Aku (Nabi s.a.w.) dari Allah, dan orang mu’min dariku”. (ibid. 10). Ertinya sebagaimana yang dihuraikannya sendiri bahawa nabi adalah makhluk yang pertama yang dijadikan Allah dan sekelian orang mu’min itu dijadikan Allah daripada Baginda (iaitu daripada nurnya). (ibid. hal. 10). Dinukilkan beliau juga hadith yang bermaksud: “Aku (Tuhan) menjadikan segala perkara kerana engkau (wahai Muhammad) dan Aku jadikan engkau keranaKu” (ibid. 10). Juga dinukilkannya hadith yang bermaksud “kalaulah tidak kerana engkau Aku tidak jadikan sekelian falak ini.” (ibid. 11). Dinukilkan beliau juga hadith yang bermaksud: “Aku telahpun menjadi nabi walhal Adam berada antara air dan tanah” (ibid. 11).

Kemudian beliau menukil hadith nur Muhammad. Antaranya ialah yang bermaksud: “Perkara yang paling awal yang diciptakan Allah ialah akal” (ibid. 11); dan yang bermaksud: “Perkara yang paling awal yang diciptakan Allah ialah al-Qalam”, (ibid. 11); dan yang bermaksud: “Perkara yang awal sekali yang diciptakan Allah ialah ruh-ruh” (ibid. 11). Beliau menghuraikan bahawa akal, qalam, dan ruh itu ialah kejadian nur Muhammad s.a.w. sebagaimana yang ternyata daripada hadith yang dinukilkan beliau yang bermaksud: “Perkara yang paling awal yang diciptakan Allah ialah nurku” (ibid. 11). Dinukilkannya juga hadith yang bermaksud: “Perkara yang paling awal yang dijadikan Allah ialah ruhku”. (ibid. 11).

Mengikut Syaikh Nur al-Din, Allah menjadikan Nur Muhammad itu daripada pancaran Nur AhadiahNya, yang beliau nukilkan ialah kenyataan kitab al-Manzum yang bermakna: “Telah berdempeklah sifat Jalal dan Sifat Jamal, maka ghaliblah Jamal itu atas sifat jalal, maka dijadikan Allah daripada dua sifat itu Ruh Muhammad, iaitu daripada ‘adam kepada wujud (daripada tidak ada kepada ada - uem) (Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard.12). Kita perlu nyatakan bahawa yang dijadikan itu makhluk juga, bukannya sambungan daripada zat atau Diri Tuhan, sebab kalau demikian ada dua yang kadim, dan itu kesyirikan.




Kata beliau bahawa selepas Allah menjadikan Nur Muhammad atau Ruh Muhammad itu Ia tilik kepadanya dengan tilik mahabbah atau kasih, maka ia malu dan berpeluh, dari peluhnya itulah dijadikan ruh-ruh sekelian anbia, aulia dan nyawa sekelian orang mu’min yang salih, dan daripada nyawa sekelian mu’min yang salih itu dijadikan nyawa sekelian mu’min yang fasik, daripada mu’min yang fasik dijadikan nyawa sekelian mu’min yang munafik dan mereka yang kafir. (ibid. 13).

Dan dijadikan daripada insan nyawa insan itu nyawa sekelian malaikat, dan daripada malaikat itu nyawa sekelian jin, dan daripada jin itu nyawa sekelian syaitan, dan daripada syaitan itu nyawa sekelian binatang, daripada binatang itu nyawa sekelian tumbuh-tumbuhan, setengahnya mempunyai martabat yang melebihi yang lainnya; jadilah pula segala jenis nafas tumbuh-tumbuhan itu dan segala anasir itu iaitu hawa, api, air dan angin (ibid. 13).

Kemudian beliau menyebut bagaimana Allah menilik dengan tilikan haibah pula, hancurlah ia, setengahnya menjadi air, setengahnya menjadi api yang menghanguskan air, keluarlah asap, naik ke angkasa, daripadanya di Allah tujuh petala langit. Setelah itu ada bakinya yang tinggal, daripadanya dijadikan matahari, bulan, dan bintang. (ibid.13). Demikian seterusnya.

Beliau menukilkan pula riwayat yang lain, yang masyhur, bahawa Allah menjadikan sepohon kayu dengan empat dahannya, dinamakan Syajaratul-Yaqin. Kemudian dijadikan Nur Muhammad dalam bentuk burung merak, diletakkan atas pohon itu, lalu ia mengucap tasbih kepada Allah, selama tujuh puluh ribu tahun. Bila merak itu terpandang terlalu cantik rupanya, dengan elok bulunya, dan lainnya, sujudlah ia lima kali sujud, jadilah sujud itu kemudiannya sembahyang lima waktu yang wajib atas umat Muhammad s.a.w.

Kemudian dikisahkan bahawa Allah menjadikan kandil daripada akik yang merah. (ibid. 15).

Kemudian Syaikh Nur al-Din menukil riwayat yang menyebut Nur Muhammad dalam bentuk burung merak

Antara kitab Jawi yang popular sebagai rujukan ialah kitab “Kashf al-Ghaibiyyah”

Dalam kitab “Kashf al-Ghaibiyyah” oleh Zain al-‘Abidin al-Fatani rh (berdasarkan karangan asalnya “Daqa’iq al-Akhbar fi Dhikr al-Jannah wa al-Nar” karangan Imam ‘Abd al-Rahim bin Ahmad al-Qadhi, dan kitab “Durar al-Hisan” karangan al-Suyuti, dan “Mashariq al-Anwar” oleh Shaikh Hasan al-‘Adawi antara lainnya), oleh Syaikh Zain al-‘Abidin al-Fatani rh (Maktabah wa Matba’ah dar al-Ma’arif, Pulau Pinang, t.t.) Kitab ini dikarang oleh beliau pada tahun 1301 Hijrah. Pada halaman 3 dst. terdapat bab awal berkenaan dengan penciptaan roh teragung, (al-Ruh al-A’zam), iaitu nur Nabi kita Muhammad ‘alaihis-salatu was-salam. Kata beliau:

“Sesungguhnya telah datang pada khabar oleh bahawasanya Allah taala telah menjadi ia akan satu pohon kayu baginya empat dahan, maka menamai akan dia Syajarat al-Muttaqin (Pokok Orang-orang yang bertaqwa), dan pada setengah riwayat Shajarah al-yaqin (Pokok Keyakinan), kemudian telah menjadi ia akan Nur Muhammad di dalam hijab daripada permata yang sangat putih seu(m)pama rupa burung merak dan dihantarkan ia akan dia atas demikian pohon kayu itu , maka mengucap tasbihlah oleh Nur itu atas pohon kayu itu kadar tujuh puluh ribu tahun, kemudian menjadi akan cermin kemaluan maka dihantarkan akan dia dengan berhadapannya; maka tatkala menilik oleh merak itu di dalam cermin itu melihat ia akan rupanya terlebih elok dan terlebih perhiasan kelakuan, maka malu ia daripada Allah taala, maka lalu berpeluh ia maka titik daripadanya enam titik, maka menjadi oleh Allah taala daripada titik yang pertama akan ruh Abu Bakar radiya’Llahu ‘anhu, dan daripada titik yang kedua itu akan ruh ‘Umar radiya’llahu ‘anhu dan daripada titik yang ketiga itu akan ruh ‘Uthman radiya’Llahu ‘anhu, dan daripada titik yang keempat itu akan ruh ‘Ali radiya’Llahu ‘anhu, dan daripada titik yang kelima itu akan pohon bunga mawar dan daripada titik yang keenam itu akan padi” (hal. 3).




Kemudian disebut bagaimana Nur Muhammad itu sujud lima kali, dengan itu, menjadi fardu sujud, lalu difardukan sembahyang yang lima waktu atas Muhammad dan ummatnya. Kemudian disebut Allah menilik kepada nur itu, lalu ia malu, berpeluh kerana malunya. Daripada peluh hidungnya Allah jadikan malaikat, daripada peluh mukanya Allah jadikan ‘Arasy, Kursi, Lauh dan Qalam, matahari, bulan, hijab, segala bintang, dan barang-barang yang ada di langit. Daripada peluh dadanya dijadikan anbia, mursalin, ulama, syuhada dan solihin. Daripada peluh belakangnya dijadikan Bait al-ma’mur, Ka’bah, Bait al-Maqdis, dan segala tempat masjid dalam dunia. (hal. 3-4).

Beliau menyebut hadith qudsi:

"Adalah Aku perbendaharaan yang tersembunyi maka Aku kehendak akan diperkenal akan daku maka Aku jadikan segala makhluk supaya dikenalnya akan daku." (hal. 6)

Kemudian beliau menyebut hadith Nabi s.a.w:

"Yang awal-awal barang yang suatu dijadikan Allah taala itu nurku dan pada suatu riwayat ruhku. Kata pengarang ini: Maka adalah sekelian alam ini dijadikan Allah subhanahu taala daripada sebab nur Muhammad s.a.w. seperti yang teleh tersebut"



Dan hadith qudsi yang lain:

"Aku jadikan segala perkara itu kerana engkau ya Muhammad dan Aku jadikan akan dikau itu kerana Aku, yakni dijadikan nur Muhammad itu dengan tiada wasitah suatu jua pun. (hal. 6)


Melalui kitab terkenal ini tersebar fahaman tentang konsep Nur Muhammad di kalangan Muslimin sebelah sini.


Kitab al-Kaukab al-Durri fi al-Nur al-Muhammadi oleh Syaikh Muhammad bin Isma’il Daud al-Fatani rh:


Kitab ini (terbitan Khazanah al-Fattaniyyah, Kuala Lumpur, 2001). Kitab ini yang dikarang oleh penulisnya pada tahun 1304 Hijrah, di Makkah, berbicara tentang tajuk yang berkenaan dari halaman 2-7. Isinya berdasarkan riwayat Ka’ab al-Akhbar, sebagaimana yang ada dalam kitab “Kashf al-Ghaibiyyah” karangan Syaikh Zain al-‘Abidin al-Fatani. Antaranya maklumatnya ialah: Tuhan menggenggam satu genggam daripada NurNya, diperintah ia menjadi Muhammad, ia menjadi Muhammad, ia menjadi tiang, ia sujud kepada Allah, dibahagi nur itu kepada empat bahagi, pertama menjadi Lauh, kedua Qalam, perintah menulis kepada Qalam, sampai kepada umat nabi-nabi, yang taat dan yang derhaka, dengan akibat-akibat mereka. Sampai disebutkan riwayat tentang sesiapa yang melihat nur itu pada bahagian-bahagian tertentu jadilah ia mempunyai sifat-sifat tertentu. Sekelian makhluk dijadikan daripada nurnya. Ia berakhir dengan menyebut makhluk sembahyang dengan huruf nama Ahmad dan Muhammad, berdiri qiyam seumpama alif, ruku’ seumpama ha’, sujud seumpama mim, duduk seperti rupa dal. Juga dikatakan makhluk dijadikan atas rupa huruf nama Muhammad, kepala bulat seperti mim, dua tangan seperti rupa ha’, perut seperti rupa mim, dua kaki seperti rupa dal.


Kitab “Daqa’iq al-Akhbar fi Dhikr al-jannah wa al-Nar” terjemahan Melayu oleh Syaikh Ahmad ibn Muhammad Yunus Langka:


Kitab ini diterjemahkan oleh beliau pada 1312 Hijrah di Makkah dahulunya diterbitkan oleh dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, Mesir. Kemudian ia diterbitkan oleh Maktabah wa matba’ah al-ma’arif, Pulau Pinang, tanpa tarikh. Isi kitab ini berkenaan dengan nur Muhammad s.a.w., asal kejadiannya, bagaimana semua makhluk dijadikan daripadanya adalah sebagaimana yang telah disebutkan oleh Syaikh Zain al-‘Abidin dalam “Kasshf al-Ghaibiyah”nya yang menjadikan kitab ini sebagai satu daripada sumber-sumbernya, sebagaimana yang dinyatakan dalam bahagian permulaan kitabnya. Bab pertamanya sama isinya dengan apa yang ada dalam kitab terjemahan ini.


Antara Hadis tentang Nur Muhammad



Hadith berkenaan dengan Nur:

Tentang hadith berkenaan dengan Nur itu antara yang boleh dikemukakan ialah:

Dalam Kitab “Kashf al-Khafa’ wa Muzil al-Ilbas ‘Amman Ishtahara min al-Ahadith ‘Ala Alsinatin-Nas’ oleh al-‘Ajluni (men.1162 Hijrah):

Hadith yang bermaksud: “Yang pertama dijadikan Allah ialah nur Nabi engkau, wahai Jabir”. Diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzaq dengan sanadnya daripada Jabir bin ‘Abd Allah dengan lafaz: Katanya: Aku berkata: Wahai Rasulullah, bapa dan bonda hamba menjadi tebusan tuan, beritahu kepada hamba tentang perkara terawal yang dijadikan Allah sebelum segala sesuatu. Jawab Baginda: Wahai Jabir, sesungguhnya Allah jadikan sebelum segala sesuatu nur Nabi engkau daripada NurNya, kemudian Ia jadikan nur itu berkisar dengan kudrat cara yang dikehendakiNya, walhal dalam masa itu tiada Lauh (Lauh Mahfuz), tiada Qalam, Syurga dan Neraka, tiada malaikat, langit, bumi, matahari, bulan, jin dan manusia. Maka bila Allah kehendaki menjadikan sekelian makhluk ia membahagikan Nur itu kepada empat bahagian, daripada juzu’ pertama ia jadikan al-Qalam, daripada yang kedua Ia jadikan Lauh (Lauh Mahfuz), daripada yang ketiga Ia jadikan ‘Arash, kemudian Ia membahagikan pula juzu’ yang keempat itu kepada empat bahagi, maka daripada juzu’ yang pertama Ia jadikan malaikat penanggung ‘Arasy, daripada juzu’ yang kedua Ia jadikan Kursi, daripada yang ketiga Ia jadikan malaikat yang baki lagi. Kemudian Ia membahagikan lagi juzu’ yang keempat itu kepada empat bahagi yang pertamanya dijadikan langit-langit, yang keduanya bumi-bumi, yang ketiganya Syurga dan Neraka. Kemudian yang keempatnya dibahagikan kepada empat bahagian: yang pertamanya dijadikanNya nur pandangan mata Muslimin, daripada yang kedua cahaya hati mereka, ia ma’rifat terhadap Allah, daripada yang ketiga dijadikanNya nur kejinakan mereka (dengan Tuhan) iaitu ‘tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad Rasulullah’, demikian hadith dalam “al-Mawahib” (iaitu al-Mawahib al-Laduniyyah karangan ahli hadith al-Qastallani yang terkenal sebagai rujukan itu).

Dan seterusnya:

Menyatakan berkenaan dengan yang demikian juga: Diperselisihkan adakah Qalam makhluk terawal selepas daripada nur Muhammad atau tidak? Al-Hafiz Abu Ya’la al-Hamadani: yang asal ialah ‘Arash sebelum daripada Qalam, mengikut riwayat yang sabit dalam kitab “Sahih” dari ibn ‘Umar; katanya: Sabda Rasulullah s.a.w: Allah menentukan takdir bagi sekelian makhluk sebelum Ia menjadikan langit-langit dan bumi lima puluh ribu tahun, ‘Arashnya atas air; ini sarih atau nyata dalam perkara takdir berlaku selepas daripada penciptaan ‘Arash; takdir ada pada awal mula tercipta Qalam; maka hadith ‘Ubadah bin al-samit, marfu’, “Awal diciptakan Allah ialah Qalam, kemudian Ia berfirman: Tulislah, kata Qalam: Apakah yang hamba (hendak) tulis? FirmanNya, “Tulislah takdir segala sesuatu” (Riwayat oleh Ahmad dan Tirmidhi; dianggapnya sahih).

Dan diriwayat oleh Ahmad dan Tirmidhi, dianggapnya sahih juga, dari hadith Abu Razin al-‘Uqaili, marfu’, “Bahawa air dicipta sebelum daripada ‘Arash”.

Dan al-Suddi meriwayatkan dengan sanad-sanad yang berbilang bahawa Allah tidak menjadikan sesuatu sebelum daripada penciptaan air, maka boleh dihimpunkan antara ini dan apa yang sebelumnya bahawa keawalan Qalam dalam hubungan dengan yang selain daripada Nur Muhammad, Air, dan ‘Arasy.

Terdapat banyak lagi hadis-hadis tentang Nur Muhammad ini dan ia memerlukan ruang yang lebih luas untuk membahaskannya.HAKIKATNYA JIKA PARA SAINTIS FIZIK HARI INI MENGETAHUI BETAPA PENTINGNYA BIG BANG,UMAT ISLAM AMNYA PERLU MEMIKIRKAN BETAPA HIKMAHNYA MAKSUD NUR MUHAMMAD INI.

Dua benda yang sama tetapi dilihat dari dua sudut berbeza.


Nur Muhammad bukan milik ahli Sufi sahaja,malah milik umat Islam jika mereka membaca hadis-hadis Nabi.Saintis Islam terkagum-kagum dengan masalah Big Bang dan berkata:

"Kita sudah tahu bagaimana Tuhan mencipta alam!!"

Padahal nabinya sendiri telah berkata masalah Big Bang dan di dalam AlQuran juga sudah tertulis permasalahan Big Bang lebih 1400 tahun yang lalu.Kita tidak cuba memahami (bukan tidak memahami,baca AlQuran pun malas) rahsia AlQuran dan kata-kata Rasullullah s.a.w malah ada di kalangan kita mengejek-ngejek agama sendiri dan undang-undang keluarga Islam yang digariskan di dalam kitab yang sama iaitu AlQuran yang pada masa yang sama mengungkapkan masalah Bing Bang dan awan-awan Hidrogen!

Dan tidaklah Kami ciptakan Iangit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan bermain-main(Al-Anbiyaa' ayat 16)



------------------------------------------


Matrix10






-Matrix Di dalam Matrix II 
-Kepercayaan Pelbagai Agama

-The One 
-Sufism,Necronomicon dan New Age

-Dimensi Di atas Dimensi
-Parallel World 
-Pengetahuan Izazil tentang Matrix

-Reinkarnasi dan kehidupan selepas kematian
-Falsafah esoterik Barat tentang Matrix 
-The Source
 
-Merovingian
-The One 
-Sentinel dan Zion

-Singulariti
-Jin dan Syaitan-Reptilian, Plaeidean dan entiti lainnya
-Teori Masa

dan banyak lagi selepas ini!




------------------
Bibliografi
Konsep Nur Muhammad di Dunia Melayu oleh Muhammad Uthman El-Muhammadi (UEM)





--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

ISI KANDUNGAN

Pengenalan
http://aurorua.blogspot.com/2013/02/marix-intro-dari-fail-mo.html

Amaran Pembaca
http://aurorua.blogspot.com/2013/02/matrix-peringatan-dari-fail-mo.html

Tajuk 1
http://aurorua.blogspot.com/2013/02/matrix-chapter-1-dari-fail-mo.html

Tajuk 2
http://aurorua.blogspot.com/2013/02/matrix-chapter-2-dari-fail-mo.html

Tajuk 3
http://aurorua.blogspot.com/2013/02/matrix-chapter-3-dari-fail-mo.html

Tajuk 4
http://aurorua.blogspot.com/2013/02/matrix-chapter-4-dari-fail-mo.html

Tajuk 5
http://aurorua.blogspot.com/2013/02/matrik-chapter-5-dari-fail-mo.html

Tajuk 6
http://aurorua.blogspot.com/2013/02/matrix-chapter-6-dari-fail-mo.html

Tajuk 7
http://aurorua.blogspot.com/2013/02/matrix-chapter-7-dari-fail-mo.html

Tajuk 8
http://aurorua.blogspot.com/2013/02/matrix-chapter-8-dari-fail-mo.html

Tajuk 9
http://aurorua.blogspot.com/2013/02/matrix-chapter-9-dari-fail-mo.html

Amaran Pembaca 2
http://aurorua.blogspot.com/2013/02/matrix-peringatan-ke-2-dari-fail-mo.html

Tajuk 10
http://aurorua.blogspot.com/2013/02/matrix-chapter-10-dari-fail-mo.html

Tajuk 11
http://aurorua.blogspot.com/2013/02/matrix-chapter-11-dari-fail-mo.html

Tajuk 12
http://aurorua.blogspot.com/2013/02/matrix-chapter-12-dari-fail-mo.html

Tajuk 13
http://aurorua.blogspot.com/2013/02/matrix-chapter-13-dari-fail-mo.html

No comments:

Post a Comment