Tuesday, November 19, 2013

Villa Nabila - SELESAI!!





Siapa Nabila? Apa kaitan rumah banglo usang di tepi jalan Danga Bay Johor Bahru itu dengan nama beliau, dan siapa yang beri nama 'Villa Nabila' yang kecoh satu Malaysia itu.

Hasil temubual dengan wartawan kanan Utusan Malaysia di Johor Bahru, Maznah Mohd Arsad. Orang lama yang simpan banyak cerita dan gosip di Johor Bahru dalam 'poketnya'.



Menurutnya, 'Villa Nabila' yang kecoh diperkatakan oleh rakyat Malaysia kononnya rumah dimana budak perempuan nama Nabila kena bunuh dan menyebabkan ianya tidak diduduki dan berhantu hanyalah rekaan yang berbeza dengan fakta sebenar berkenaan sejarah rumah terbabit.

Jelasnya rumah tersebut adalah milik seorang ahli perniagaan berbangsa Cina yang didakwa oleh mahkamah kerana pecah amanah dan menipu Kerajaan Negeri Johor.

Tambah beliau, tidak pernah timbul cerita berkenaan pembunuhan kejam atau ngeri di rumah terbabit, sebaliknya rumah berkenaan ditinggalkan kosong ekoran disita pihak berkuasa setelah mahkamah menjatuhkan hukuman bersalah kepada ahli perniagaan tersebut.

"Dia (ahli perniagaan Cina) sebenarnya sebab pecah amanah dan menipu kerajaan negeri Johor, dan dijatuhkan hukum didapati  bersalah.

"Saya tak ingat, berkemungkinan pada tahun 1990 atau 1991, orang tersebut seorang ahli perniagaan dan katanya memang kerap menipu.

"Saya adalah wartawan yang ditugaskan membuat liputan berkenaan kes tersebut di Mahkamah di Johor Bharu, tertuduh dipenjara dan segala aset milik beliau disita pihak berkuasa," tambahnya lagi.

Dalam bahasa mudahnya, tak pernah ada kaitan antara rumah banglo kosong itu dengan budak perempuan nama Nabila. Hanya [I]'urban legend'[/I] yang disebarkan dari mulut ke mulut sejak sekian lama.

Kiranya kejadian semalam menjawab banyak misteri di sebalik rumah terbiar itu.

Sebab itu, bagi Ketua Polis Negeri Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, polis negeri itu sudah berjaya menyelesaikan misteri Villa Nabila.

Ini berikutan remaja yang dikatakan 'hilang' itu rupa-rupanya pergi tidur di rumah kawan dan hanya tahu polis dok cari beliau melalui berita televisyen.

“Polis Johor berjaya.. misteri Villa Nabila ini sudah terjawab.. budak yang dilaporkan hilang yang dikatakan disorok oleh jin, makhluk halus.. berita yang begitu sensasi sekali ya.. disebar begitu luas dalam laman sosial.. Polis Johor berjaya menjawab misteri ini,” katanya dalam sidang media pagi Selasa.

Mohd Mokhtar berkata sebaik sahaja pihak polis menerima laporan kehilangan remaja terbabit, pihak polis Johor menubuhkan satu pasukan khas mencari remaja terbabit.

“Ibunya buat laporan mengatakan dia keluar rumah tak balik, kemudian pelbagai cerita kononnya hilang di Villa Nabila, polis tubuhkan pasukan khas, Ops Kesan arahan jelas, cari budak ini sampai dapat,” katanya.

Hasil daripada pemantauan, risikan dan kebijaksanaan polis akhirnya malam tadi remaja berkenaan berjaya ditemui, kata Mohd Mokhtar.

Beliau berkata polis membawa remaja berkenaan yang bersama teman wanitanya ke sebuah balai polis serta direkod kenyataannya.

“Jadi, cerita yang kononnya dia hilang di Villa Nabila ini tidak betul. Nasihat saya berhentikanlah kepercayaan kurafat ini. Jangan menyebarkan maklumat-maklumat, khabar angin kononnya di Villa Nabila orang pergi hilang, 30 budak hilang.. Ini semua karut.

“Budak ini telah dijumpai malam tadi lebih kurang pukul 12 malam oleh anggota polis dan kita telah siasat dan dia pun tahu, bukan dia tak tahu.. Dia pun tengok televisyen juga,” katanya.

SEMENTARA ITU, kerajaan Johor akan menyemak status Villa Nabila yang didakwa "berhantu" sebelum membuat keputusan sama ada ia perlu dirobohkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau akan meminta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menyemak status banglo tinggal yang terletak di atas bukit dan menghadap ke Selat Johor itu.

"Kita tidak boleh sesuka hati mengambil alih harta atau merobohkannya walaupun ia telah kosong selama bertahun-tahun kerana ia adalah harta persendirian," katanya.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai rancangan untuk membangunkan kawasan itu walaupun lokasinya terletak di kawasan utama Danga Bay.

Beliau berkata, jika kerajaan negeri mengambil alih hartanah berkenaan, ia akan mencetuskan satu ketidakbiasaan untuk bangunan terbengkalai yang lain di negeri ini.

"Villa Nabila hanyalah sebuah banglo yang ditinggalkan dan sama ada ia menyeramkan atau tidak seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu, masih belum disahkan," katanya.

Khaled berkata, banglo yang ditinggalkan itu telah wujud di situ selama bertahun-tahun, sambil menambah hanya apabila khabar angin mula tersebar di internet mengenainya, timbul minat yang mendadak terhadap rumah itu.

No comments:

Post a Comment