Monday, April 29, 2013

PRU 13 - Hudud agenda PAS, bukan Pakatan, kata Mustafa Ali



PAS hanya akan melaksanakan hukum Hudud melalui proses demokrasi apabila Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan Putrajaya kerana ia adalah perjuangan dan dasar parti Islam berkenaan dan bukannya dasar Pakatan Rakyat (PR), kata Datuk Mustafa Ali.
Setiausaha agung PAS itu dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini menegaskan, menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) Umno menggunakan isu undang-undang Islam itu bagi memerangkap parti komponen PR bagi menunjukkan wujudnya perbezaan pendapat dalam pakatan pembangkang berkenaan dan untuk memporak-perandakan PR.
“Ia agenda PAS dan bukan agenda PR. Kalau PAS nak (laksana) kita melalui proses demokrasi ... Ia bukan automatik (terlaksana),” katanya.
“Ini tujuan Umno BN adakan isu ini. Saya merayu kepada semua pemimpin PAS dan DAP agar tidak teruskan pertikaian isu ini di media kerana ia beri jalan dan lorong masuk perangkap Umno dan BN,” katanya kepada pemberita, dan menambah polemik ini harus dihentikan kerana ia sudah diselesaikan pada September 2012.
Jelas Mustafa (gambar) pihaknya mengakui DAP tidak pernah menerima Hudud dan sekaligus menunjukkan perbezaan antara komponen parti dalam PR itu, namun beliau turut menegaskan, kebersamaan mereka adalah jauh lebih besar daripada perbezaan.
“Ada perbezaan, itu kita akui. Dan saya boleh beri jaminan isu hudud tidak akan pecah belahkan PAS dan anggota PR yang lain.
“Sedangkan kita cukup bersatu dan kita selalu berterus terang ... fokus kita adalah lawan Umno lawan BN,” katanya lagi.
Pengerusi DAP, Karpal Singh sebelum ini mendesak Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendiriannya berhubung isu berkenaan dan konsep negara Islam yang ingin dilaksanakan PAS sekiranya mereka menewaskan BN dalam Pilihan Raya 2013 kali ini.
Beliau berkata, sebagai calon “perdana menteri” pakatan pembangkang, Anwar perlu menyatakan pendiriannya mengenai isu berkenaan.
Karpal menjelaskan hasrat pemimpin PAS itu bakal menjejaskan persefahaman antara parti dalam pakatan pembangkang dan mengakui dua isu itu akan memberi kelebihan kepada BN.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din juga dilaporkan sebelum ini berkata, parti itu tetap akan melaksanakan hukum hudud jika pakatan pembangkang diberi mandat memerintah negara kelak.
BN telah menggunakan isu berkenaan sebagai kelebihan untuk mereka dan menjadi kelebihan kepada parti kerajaan itu untuk pilihan raya kali ini dengan menakut-nakutkan pengundi melalui iklan di media massa bahawa “satu undi DAP sama dengan satu undi PAS.”
Radio RedFM, radio berbahasa Inggeris milik MCA telah memainkan iklan berkenaan berulang kali, begitu juga akhbar-akhbar milik The Star yang menyebarkan iklan berkenaan.
PAS berhajat untuk menubuhkan negara Islam telah ditentang DAP sejak awal lagi.
Karpal menjelaskan Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan kewujudan negara Islam dan menambah DAP dan PKR tidak akan menyokong PAS untuk meminda Perlembagaan bagi tujuan itu.

No comments:

Post a Comment