Friday, April 26, 2013

SURAT TERBUKA BUAT TGNA


YAB Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Semoga berada dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa dilindungi Allah SWT dari sebarang keburukan dan malapetaka.

2. Terlebih dahulu izinkan saya memperkenalkan diri saya. Saya adalah bekas pensyarah di sebuah universiti tempatan dan memilih bersara awal ketika berumur 40 tahun. Sejak itu saya menceburi dunia bisnes sendiri. Pada masa yang sama saya juga bergiat cergas dalam beberapa NGO berkepentingan Melayu, Islam, bumiputera dan negara.

3. Pertama kali saya berpeluang berjumpa dan berbual secara santai dengan YAB Tok Guru ialah sekitar tahun 1985/6 ketika mengikuti tokoh dan pemimpin UMNO yang terkenal dan dihormati di Kelantan dan juga di Malaysia, berkempen. Saya tidak ingat di kampung mana kita bertemu tetapi saya ringkaskan cerita pertemuan kita itu.

Kebetulan YAB Tok Guru berkunjung ke kampung yang sama, juga untuk berkempen. Setibanya di tempat YAB Tok Guru hendak berkempen, Tok Guru dimaklumkan oleh pengikut dan penyokong Tok Guru bahawa tokoh UMNO yang saya maksudkan itu juga ada di kampung yang sama dan juga sedang berkempen.

Mendengar nama tokoh UMNO itu Tok Guru terus memberitahu para penyokong dan pengikut Tok Guru untuk tunggu sebentar bagi membolehkan Tok Guru datang ke tempat kami berkempen untuk berjumpa dan bertanya khabar dengan tokoh UMNO berkenaan.

4. Setibanya di rumah kami sedang berkempen, Tok Guru terus naik dan bersalaman dengan kami semua. Tok Guru bersalaman dan berpelukan (cara sahabat dalam Islam berpelukan) dengan tokoh UMNO berkenaan. Begitu mesra sekali walhal ketika itu masing-masing sedang berkempen, atas tiket parti yang berlainan, Pas lawan UMNO. Akan tetapi sedikit pun tidak nampak perbezaan atau permusuhan di antara Tok Guru dengan tokoh UMNO itu serta lain-lain hadirin, sebaliknya begitu akrab persahabatan yang ditunjukkan.

Selepas kita bertiga dan beberapa orang lain bersama makan laksam dalam satu hidangan, Tok Guru beredar untuk pergi berkempen.

5. Saya yang begitu muda ketika itu dan bukan di kalangan orang politik sungguh kagum melihat suasana itu dan berkata dalam hati saya, 'sungguh matang orang Melayu Islam berpolitik'. Sejak itu saya jarang sekali terlibat secara aktif dalam politik kerana tiada apa yang mahu dibimbangkan mengenai gelagat politik, sekalipun PRU tahun 1999 agak mencemaskan kerana faktor Datuk Seri Anwar Ibrahim.

6. Namun, selepas PRU-12 pada 8 Mac 2008, saya kembali cemas dan tanpa disedari terheret semula ke dalam gelanggang politik, lebih sebagai kerabat NGO. Ini kerana PRU-12 tanpa disedari telah menyebabkan parti-parti pembangkang, menjadi terlalu ghairah untuk memperoleh kemenangan lebih besar dalam PRU-13 yang akan datang, sekalipun ia hanya akan berlaku 5 tahun lagi.

7. Mulanya saya bertanggapan keghairahan Pas untuk menang lebih besar hanyalah keghairahan biasa, maka apa salahnya Pas memasang angan-angan untuk memperoleh kemenangan lebih besar dalam PRU-13 akan datang.

Pun begitu, masa berlalu pantas dan keghairahan itu mula menampakkan tanda-tanda kurang sihat terhadap kerenggangan sesama Melayu apabila perbalahan politik di antara Melayu dalam UMNO dan Melayu dalam Pas yang dilagakan oleh Melayu dalam PKR makin menampakkan tanda bahawa malapetaka amat buruk akan menimpa bangsa Melayu kerana perpecahan Melayu kian jelas dan sukar untuk dibendung.

Itu sebabnya sejak tahun 2008 lagi banyak usaha dibuat oleh pihak ketiga di kalangan penggerak NGO-NGO Melayu-Islam untuk meredakan perbalahan ini dan merapatkan jurang perselisihan di antara mereka.

8. Pernah saya mengikuti beberapa rombongan cendekiawan Melayu terkenal mengadap beberapa DYMM Raja-Raja Melayu meminta sultan-sultan memanggil pemimpin politik terutama UMNO dan Pas duduk bersama dan meredakan pergeseran sesama mereka.

Sebagai seorang Melayu beragama Islam dan sayangkan bangsa saya sama seperti saya sayangkan agama Islam saya dan sayangkan negara ini, saya telah melakukan apa yang wajar lakukan, demi perpaduan Melayu, pengukuhan Islam dan kesejahteraan Negara ini.

9. Kini tarikh PRU-13 sudah ditetapkan dan masanya amat singkat untuk jambatan penyatuan Melayu Islam dibina-kukuh agar Melayu tidak berpecah sekalipun ada yang kekal memilih Pas dan ada yang bakal memilih UMNO untuk ke Putrajaya.

Semua ini akan terjadi dengan baik sekiranya pemimpin tertinggi kedua-dua parti UMNO dan Pas bertanding dengan cara yang sihat.

Jika dilihat pada 'peperangan' semasa dalam kempen menjelang PRU-13 pergeseran di antara Pas dan UMNO semakin meruncing dan semacam mereka sudah berpatah arang berkerat rotan, sisa-sisa harapan yang masih ada ialah beristighasah dan bermunajat meminta pertolongan Allah SWT agar dibuka hati para pemimpin Melayu dalam Pas dan UMNO untuk berpolitik secara Islam yang sebenarnya.

10. Jika pada tahun 1985 saya begitu kagum dan bangga dengan nilai budaya dan peradaban yang Tok Guru tunjukkan kepada rakan saya tokoh pemimpin UMNO yang saya maksudkan, sekali lagi, kali ini saya menoleh dan memandang tepat kepada Tok Guru untuk menunjukkan teladan yang sama.

Saya amat yakin Tok Guru menerima saranan saya ini dengan hati yang baik, ikhlas dan diberi petunjuk yang betul oleh Allah SWT. InsyaAllah.

Sekian, wabillahi tawfiq wal hidayah, wassalamualaikum WBT.-15/4/2013



PENULIS merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu MPM

No comments:

Post a Comment