Monday, April 29, 2013

Peringatan buat penyebar fitnah



“Adakah kamu semua mengetahui siapakah orang yang MUFLIS?” Sebagaimana biasa, salah satu teknik didikan Rasulullah s.a.w ialah dengan cara two ways communication (komunikasi dua hala) iaitu dengan mengemukakan persoalan, diikuti penjelasan baginda kepada persoalan tersebut. Para sahabat menjawab “MUFLIS dalam kalangan kami ialah orang yang tidak berduit dan tidak memiliki sebarang harta (aset)”. Jawapan tersebut adalah berdasarkan kefahaman umum masyarakat ketika itu dengan kalimah MUFLIS. Bahkan pada zaman sekarang, apabila disebut kalimah MUFLIS, maka yang terlintas di dalam fikiran kita ialah seseorang yang tiada duit dan harta serta memiliki liabiliti (hutang) yang tidak mampu dibayar.
Lantas Rasulullah s.a.w. menerangkan apakah pengertian MUFLIS yang dimaksudkan. Baginda bersabda: “Orang yang MUFLIS dalam kalangan umatku ialah seseorang yang dibangkitkan di akhirat kelak bersama dengan pahala solat, puasa dan zakat yang pernah dilakukan semasa di dunia. Namun pada masa yang sama, dia juga membawa dosa memaki hamun orang lain, memfitnah, memakan harta orang, menumpahkan darah dan memukul orang. Waktu perbicaraan, diambil pahalanya (si MUFLIS) dan dibayar kepada mangsa-mangsa tersebut. Dan sekiranya telah habis pahalanya, diambil pula dosa-dosa mangsanya, lalu dibebankan kepada si MUFLIS. Kemudian dia dihumbankan ke neraka!” (Riwayat daripada Abi Hurairah oleh Imam Muslim)

No comments:

Post a Comment