Thursday, March 14, 2013

Jamalul Kiram Rela Dipenjara


Jamalul Kiram III lebih rela dipenjara | MANILA, Filipina – Lelaki yang mendakwa dirinya pewaris Kesultanan Sulu, Jamalul Kiram III menegaskan, dia bersedia untuk dipenjarakan, menurut sebuah akhbar dalam talian semalam.


Kenyataan itu dibuat Kiram III semasa dia melahirkan kesediaan untuk hadir di pejabat Biro Siasatan Nasional (NBI) di sini selepas mendapat perintah berbuat demikian.

“Sebenarnya, saya telah menunggu untuk perintah ini ke atas saya. Jika mereka (pihak berkuasa) mahu saya masuk penjara, teruskan,” kata Kiram III.

“Saya sedia menjalani hukuman penjara,” tambahnya.
Menurutnya, dia bersedia untuk masuk penjara kerana mahu membuktikan bahawa tuntutan ke atas Sabah dibuat bukan kerana wang.

Warga emas berusia 74 tahun yang menjalani rawatan dialisis dua kali seminggu itu sebaliknya berkata, dia menuntut hak daripada aspek sejarah dan moral untuk mengetuai pengikut-pengikutnya kembali ke tanah air mereka.

“Tiada wang menjadi taruhan dalam isu ini. Apa yang penting ialah maruah dan kehormatan kami. Impian saya adalah untuk meninggalkan legasi untuk tanah air kami,” jelas Kiram III.

“Kita akan menunjukkan kepada dunia bahawa kita memiliki bukti dan hak untuk tinggal di sana (Sabah),” tambahnya.

Malah, pemimpin tersebut percaya Sabah adalah sebahagian daripada tanah pusaka mereka selepas menerima kawasan di Borneo Utara itu sebagai tanda terima kasih kerana membantu Kesultanan Brunei menewaskan satu pemberontakan pada 1704.

Kelmarin, jurucakap Kiram III, Abraham Idrijani mengumumkan bahawa NBI memerintahkan pemimpin itu supaya hadir di pejabat agensi tersebut lusa. – Agensi

Penjelasan Jamalul Kiram III diatas sudah cukup membuktikan bahawa orang seperti ini buta akan sejarah, malah berani membicarakan tentang keadilan ketika beliau sendiri telah melakukan pencerobohan yang sama dilakukan ketika tentera Abrahah menceroboh Mekah semasa tahun kelahiran Rasul junjungan kita, Muhammad S.A.W.  Juga kononnya perjuangan mereka adalah syahid kerana menuntut bela tanah yang sudah sedia makmur di bawah pemerintahan yang adil tetapi mensyirikkan diri sendiri dengan pengamalan ilmu hitam.  Maka matilah mereka dengan mati dengan dilaknat tuhan. Perjuangan yang sia-sia. Al-Fatihah kepada anggota keselamatan yang terkorban.

No comments:

Post a Comment